Monday, April 5, 2010

Mestika Hadis-SEBENAR-BENAR PERKATAAN DAN SEBAIK-BAIK JALAN PIMPINAN-1

Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur'an" (23, Al-Zumar).

" .. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap memimpin ke jalan yang lurus." (52, Al-Syura).

"Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa hidayat pertunjuk dan agama yang benar (Agama Islam) (28, Al-Fath).

Hadis Pertama



1- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ. (مسلم وغيره)

1- Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat". Kemudian Baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".

(Muslim dan Lain-lainnya).

Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:

(1) Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato.

(2) Masa baginda diutus oleh Allah Taala dan saat berlakunya qiamat.

(3) Kitab Allah ialah sebenar-benar perkataan dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w ialah sebaik-baik jalan pimpinan.

(4) Perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama adalah seburuk-buruk perkara.

(5) Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang mukmin.

Hurainnya:

Pertama - Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato:

Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w, manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato, Rasulullah s.a.w menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.

Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat, seperti berlakunya qiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera, memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.

Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum, kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.

Kedua - Masa Baginda diutus dan saat berlakunya qiamat:

Meskipun masa berlakunya hari qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah, tetapi Rasulullah s.a.w telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya qiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya qiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku qiamat dengan masa Rasulullah s.a.w diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah dari jari telunjuk.

Ketiga - Kitab Allah Adalah Sebenar-benar Perkataan:

Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.

Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.

Kitab Allah, kitab suci Al-Qur'an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.

Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur'an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.

Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang, Al-Qur'an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.

Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah da kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.



Pimpinan Rasulullah s.a.w.:

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam.

Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

Keempat - Perkara-perkara Baharu yang diada-adakan dalam Agama:

Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah s.a.w, Aathar sahabat dan Ijma Ulama.

Perkara-perkara baharu yang demikian itulah dia bid'ah yang merupakan jalan baharu yang menyeleweng dari jalan yang sebenar, maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan di akhirat kelak dan jalan ke akhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapapun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar dan balasan yang seburuk-buruknya.

Kelima - Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Mukmin:

Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang-orang lain, tetapi Rasulullah s.a.w berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.

Dengan sifat seorang pemimpin negara dan pemimpin agama, yang membawa perutusan dari Allah Subhanahu wa Taala, Baginda mencurahkan segala daya upaya, segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat, jauh sekali Baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan dan tidak sekali-kali Baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.

Di antara cara-cara Baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan Baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.

Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w.

2- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (أبو داود)

2 - Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? " Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dan mulutku ini melainkan yang benar. "

(Abu Daud)

Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa:

(1) Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda.

(2) Baginda mengizinkan supaya Hadis-hadis ini ditulis.

(3) Segala yang disampaikan oleh Baginda adalah benar.

(4) Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah anggapan yang tidak berasas.

Huraiannya:

Pertama - Penulisan Hadis-hadis Nabi.

Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah Taala membawa syariat Islam kepada seluruh umat manusia, Baginda adalah sebagai seorang mahaguru yang diberi tugas mengajar, maka segala yang terbit dari Baginda, sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pun taqrirnya (ketiadaan larangannya)

mengenai perkara-perkara syariat adalah semuanya berupa pelajaran dan tiap-tiap pelajaran itu ada sahaja orang yang menerimanya.

Sebahagian besar dari sahabat-sahabat Baginda menerima hadis-hadis itu dengan menghafaznya dalam dada masing-masing. Dalam pada itu ada juga sahabat-sahabat yang pandai menulis, mereka tulis hadis-hadis itu setelah menerimanya dan Baginda. Tetapi walau bagaimanapun, bagi sahabat-sahabat Nabi, cara menghafaz hadis-hadis itu lebih teguh dari cara menulisnya, dan lebih terkawal dari kesilapan, kerana tabiat semula jadi orang-orang Arab itu kuat ingatan, tambahan pula mereka bersifat adil disebabkan kekuatan imannya.

Dari usaha sahabat-sahabat Baginda dalam hal penulisan hadis-hadis itu, maka banyaklah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang telah terkumpul dalam tulisan pada masa hayat Baginda.

Mengenal masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda sila lihat lampiran (A).

Kedua - Baginda mengizinkan supaya hadis-hadisnya ditulis.

Penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. itu bukanlah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda secara rahsia, tetapi dilakukan setelah mereka mendapat kebenaran dari Baginda. Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat keadilan mereka, tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubung dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. khasnya dan dengan perkara-perkara agama amnya, dengan tidak mendapat kebenaran dari Baginda.

Ketiga - Segala yang disampaikan oleh Baginda dari Allah Taala tetap benar.

Apa juga yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak harus diragu-ragukan, kerana semuanya benar dan wajib diturut serta dijadikan pelajaran oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifatnya seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk menyampaikan hukum-hukum Islam kepada umat manusia, sudah tentu dipeliharanya dari perkara-perkara yang boleh menghalangi tugasnya dan yang boleh merosakkan apa yang hendak disampaikannya itu.

Keempat - Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah tidak benar.

Ada anggapan - dari pihak musuh-musuh Islam - bahawa apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. itu tak boleh dipegang dan tak boleh ditulis semuanya, kerana Baginda, kata mereka, ada sifat-sifat yang boleh jadi tidak mesti betul segala yang diterangkan, seperti perasaan marah dan perasaan suka, sedang perasaan-perasaan ini kerap kali dapat mempengaruhi jiwa seseorang hingga tergelincir dari jalan yang betul.

Anggapan yang demikian telah timbul pada masa hayat Baginda lagi, dan Baginda sendiri telah menerangkan tentang salahnya anggapan itu, dengan menyuruh menulis apa yang Baginda sampaikan.

Anggapan yang nyata salahnya itu adalah secara langsung menyentuh kedudukan kerasulan Baginda, kerana sebarang keraguan tentang kebenaran kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. bermakna ragu-ragu terhadap kerasulan Baginda.

Ada juga anggapan bahawa kesilapan berlaku pada penyampaian Rasulullah s.a.w. dengan alasan Baginda pernah lupa.

Benar, Baginda pernah lupa, tetapi dengan itu tidak boleh difaham bahawa Baginda boleh berlaku lupa pada segala perkara yang hendak disampaikannya. Lupa yang pernah terjadi ialah lupa yang diperintahkan Baginda melakukannya untuk menimbulkan sesuatu hukum, seperti lupa Baginda dalam sembahyang dari membaca "Tahiyyat Awal" lalu menerbitkan hukum "Sujud Sahwi" secara amali.

Sayugia diingat, bahawa perkara yang tidak harus Rasulullah s.a.w. berlaku silap padanya ialah perkara-perkara yang dibawanya dari Allah Taala. Ada pun perkara-perkara keduniaan, atau pun perkara-perkara kehidupan sehari-hari, boleh jadi Baginda berlaku silap padanya dan boleh jadi Baginda tidak mengetahuinya, sebagaimana Baginda sendiri pernah bersabda, maksudnya: "Kamu lebih mengetahui mengenai perkara-perkara keduniaan kamu."

"Perkara-perkara keduniaan" itu ialah perkara-perkara yang dapat diketahui oleh manusia dengan kajian sendiri, dengan tidak berdasarkan wahyu. Mengenai perkara-perkara yang demikian, terpulanglah kepada seseorang membuat kajian sendiri, atau mempelajari sendiri dengan apa cara dan sejauh mana pun, asalkan tidak bertentang dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang telah sabit.

Tentang sabda Baginda: "Kamu lebih mengetahui mengenal perkara perkara keduniaan kamu" itu - maka itu adalah untuk mengajar manusia bahawa apa yang mereka gunakan dan cara-cara perusahaan dan alat-alat pertukangan terserahlah kepada pengetahuan dan pengalaman mereka, dan

Tuhan tidak menyekat atau melarang mereka menjalankannya selagi hukum-hukum syarak tidak dilanggar, dan akhlak yang mulia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Tugas Rasulullah s.a.w. tidaklah seperti tugas guru-guru sekolah dan pakar-pakar perusahaan dan perindustrian. Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan untuk mengajar satu persatu mengenal ilmu pengetahuan yang berhubung dengan cara-cara mengambil faedah dan alam langit dan bumi serta segala isinya untuk kehidupan dunia. Kalau terdapat dalam apa yang disampaikan mengenai yang demikian maka itu hanyalah untuk dijadikan bukti yang menunjukkan wujudnya Allah Taala dan kekuasaanNya serta kebijaksanaan dan kemurahanNya.

Ada pun ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan angkasa lepas meliputi matahari, bulan dan bintang; dan yang berhubung dengan bumi dan khazanah-khazanah yang terpendam di dalamnya; demikian juga ilmu pengetahuan yang bersabit dengan pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya, maka semuanya itu tidaklah termasuk dalam tugas Rasulullah s.a.w. untuk menerangkan satu persatu bahkan terserahlah kepada manusia mencari dan menyelidiknya, kerana Tuhan telah jadikan manusia berakal fikiran serta memberikannya tenaga dan usaha ikhtiar untuk mencapai pengetahuan dan kepandaian bagi mendapat kesempurnaan hidupnya.

Lampiran (A):

Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.:

Mengenai masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda, ada beberapa hadis yang melarang menulisnya, dan ada pula beberapa hadis yang mengizinkan.

Di antara hadis-hadis yang melarang itu ialah:

Pertama - Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu menulis (hadis-hadis) dariku dan (dengan yang demikian) sesiapa yang telah menulis dariku selain dari Al-Qur'an, maka hendaklah ia memadamnya .."

Kedua - Hadis dari Abu Said Al-Khudri juga, katanya: (Pada suatu hari) kami sedang duduk menulis apa yang kami dengar dari Rasulullah s.a.w., lalu Baginda keluar mendapatkan kami sambil bertanya: "Apa yang kamu tulis itu?" Kami menjawab: "(Kami menulis) Apa yang telah kami dengar dari Rasulullah". (Mendengar jawapan kami itu) Baginda bersabda, maksudnya: "Patutkah kamu menulis (sesuatu yang lain) bersama-sama dengan kitab Allah (Al-Qur'an)? Tulislah kitab Allah itu sahaja dan bersihkanlah dia (dari yang lainnya)." Maka kami pun mengumpulkan (hadis-hadis Nabi) yang telah kami tulis itu pada satu tanah lapang, kemudian kami

membakarnya. Setelah itu kami bertanya kepada Baginda dengan berkata: "Ya Rasulullah! bolehkah kami menyampaikan hadis-hadis yang kami dengar dari tuan kepada orang lain?" "boleh" jawab Baginda.

Di antara hadis-hadis yang mengizinkan pula ialah:

Pertama - Hadis (Nombor 2) yang tersebut dalam bab ini.

Kedua - Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Abu Hurairah, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. beroleh limpah kurnia Allah menguasai tanah suci Makkah al-Mukaramah, tampillah Baginda berpidato kepada orang ramai .. lalu bangun Abu Shah sambil berkata: "Bolehkah tuan (membenarkan sesiapa) menulis untukku (apa yang tuan sabdakan itu) Ya Rasulullah? " Baginda menjawab, maksudnya: "Tulislah kamu untuk Abu Shah."

Pendapat Sahabat-sahabat Nabi:

Dengan adanya hadis-hadis yang melarang dan mengizinkan itu, maka sahabat-sahabat Nabi tidak sekata mengenai masalah penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., tetapi kebanyakannya mengharuskan dan telah pun menulisnya.



Pendapat Alim Ulama':

Alim Ulama' dan Ahli Hadis telah menyesuaikan di antara hadis-hadis yang melarang dan yang mengizinkan penulisan hadis-hadis Nabi itu dengan beberapa cara dan alasan:

Pertama - Larangan itu adalah khas mengenai waktu turunnya Al-Qur'an kerana dibimbangkan Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya, dan hadis-hadis yang mengizinkan itu pula adalah untuk keadaan yang tidak dibimbangkan.

Kedua - Larangan itu adalah khas mengenal penulisan hadis bersama-sama Al-Qur'an pada satu lembaran, kerana biasanya mereka mendengar hadis yang mentafsirkan sesuatu ayat Qur'an maka dengan itu harus mereka akan terlangsung menulisnya bersama-sama kandungan ayat itu, lalu mereka dilarang dari melakukan yang demikian kerana ditakuti kesamaran. Tentang hadis-hadis yang mengizinkan pula maka itu hanyalah untuk ditulis dalam lembaran yang berasingan yang tidak mengandungi sesuatu dari Al-Qur'an.

Ketiga - Bahawa larangan itu adalah khas mengenai penulisan Wahyu (Al-Qur'an) yang biasanya mereka tulis dalam lembaran-lembaran surat untuk disimpan di rumah Nabi s.a.w.; oleh itu, kalaulah mereka diharuskan menulis hadis nescaya Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya. Tetapi selain dari itu adalah diizinkan.

Keempat - Bahawa larangan itu adalah bagi orang yang dipercayai terselamat dari lupa, dan dipercayai tentang kekuatan ingatannya menghafaz apa yang didengarnya, serta ditakuti ia akan bergantung bulat-bulat kepada tulisan apabila ia menulis. Sebaliknya diizinkan bagi orang yang ditakuti lupanya.

Kelima - Hadis-hadis larangan itu mungkin sebahagian dari hadis-hadis yang dimansuhkan oleh hadis-hadis yang lain; boleh jadi pada mulanya Rasulullah s.a.w. melarang menulis sabda-sabdanya, kemudian Baginda memandang patut ditulis kerana diketahui bahawa hadis-hadis makin sehari bertambah jumlahnya dan tak dapat dihafaz.

No comments:

Post a Comment

Pages

Panduan haji