Friday, April 9, 2010

11 jenis manusia didoa Malaikat



http://azhargd.blogspot.com

 
Subject: 11 jenis manusia didoa Malaikat
 

11 jenis manusia didoa Malaikat
PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun i man . Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk man usia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis man usia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersa man ya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."



2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"



3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."



4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."



6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di man a ia melakukan solat."



7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagai man a kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"



8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"



9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di man a pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "



10. Orang yang sedang makan sahur.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."



11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."


    Monday, April 5, 2010

    Mestika Hadis Bab-2 :WAJIB BERPEGANG TEGUH KEPADA KITAB ALLAH DAN MENGIKUT JALAN PIMPINAN RASULULLAH S.A.W.

    Firman Allah Taala, maksudnya: "Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah Al-Qur'an .. (103, Ali-Imran).

    ".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).

    Hadis Ketiga

    3- عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ مَنْ اتَّبَعَهُ كَانَ عَلَى الْهُدَى وَمَنْ تَرَكَهُ كَانَ عَلَى ضَلَالَةٍ. (مسلم)



    3 - Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. " (Muslim)

    Hadis yang ketiga ini mengandungi:

    (1) Kitab Allah ialah jalan perhubungan seseorang dengan Allah.

    (2) Nasib seseorang bergantung kepada mengikut atau tidaknya akan kitab Allah.

    Huraiannya:

    Pertama - Kitab Allah Al-Qur'an Al-Karim:

    Allah S.W.T. Tuhan pencipta alam seluruhnya dan pencipta manusia khasnya. Manusia tidaklah seperti keadaan kayu dan batu, dan tidaklah seperti keadaan haiwan-haiwan yang lain, tetapi manusia adalah sejenis makhluk yang kejadiannya tersusun dari jasmani dan rohani, serta berkeadaan dengan sifat-sifat istimewa berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu maka tak patut manusia hanya tinggal manusia, tidak lebih dari itu, bahkan wajiblah ada perhubungannya dengan Allah penciptanya; maka jalan perhubungan seseorang dengan Allah itu tidak lain melainkan Al-Qur'an al-Karim. Di dalam Al-Qur'an ada keterangan-keterangan, ada tunjuk ajar untuk seseorang mencapai keselamatan; ada yang berupa suruhan, ada yang berupa larangan, sama ada dalam bahagian ibadat, mahu pun dalam bahagian bidang-bidang kehidupan, yang wajib dipatuhi, di mana seseorang itu berada dan dalam zaman mana ia hidup, hingga hari kiamat.

    ltulah sebabnya Al-Qur'an itu disifatkan dengan "Tali Allah" yang teguh kukuh, sesiapa yang berpegang dengannya selamatlah dia, dan sesiapa yang mencuaikannya binasalah dia.

    Kedua - Nasib seseorang dalam alam kehidupan:

    Perkara nasib sentiasa dipersoalkan oleh setiap orang dalam setiap masa, lebih-lebih lagi dalam zaman sains dan teknologi mi. Mereka berusaha, mereka bertindak dengan tujuan membaiki dan membela nasibnya.

    Tetapi walau bagaimanapun, nasib yang mereka maksudkan itu tidak lebih dari nasib dalam kehidupan dunia sahaja, katalah tentang senang atau susah, atau lain-lain lagi; semuanya setakat dalam dunia, dengan tidak memandang kepada akhirat - alam kesudahan masing-masing; dan semuanya mengikut ukuran lahir semata-mata dengan tidak memandang kepada nilaian akhlak dan peri kemanusiaan; maka dengan sebab itulah dalam berusaha untuk membaiki dan membela nasib kerapkali berlaku pencerobohan terhadap nasib orang lain, atau menyentuh maruah diri sendiri atau diri orang lain.

    Adapun nasib yang dimaksudkan oleh agama ialah nasib yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat sama, sedang manusia dengan fikirannya sendiri hanya dapat mengetahui perkara jasmani dalam dunia ini, itupun kadarnya sangat terbatas; pada hal hakikat manusia bukanlah jasmani sahaja bahkan jasmani dan rohani sama; maka manusia walaupun seberapa bijak fikiran mereka tak dapat mengetahui dengan sahnya perkara rohani itu, lebih-lebih lagi perkara alam akhirat.

    Dengan yang demikian, maka untuk membaiki nasib dan mencapai kebahagiaan dunia akhirat, wajiblah seseorang itu menurut ajaran kitab Allah dan menjauhkan diri dan segala larangannya.

    Hadis Keempat

    4- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك)

    4 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).

    (Imam Malik).

    Hadis yang keempat ini mengandungi:

    (1) Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal abadi.

    (2) Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia.

    Huraiannya:

    Pertama - Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w.:

    Baginda tidak meninggalkan harta benda yang menjadi pusaka kepada waris-warisnya. Sebagai seorang Rasul, Baginda diberi mukjizat-mukjizat yang membuktikan kerasulannya dan mukjizat-mukjizat itu habis apabila lalu masanya, tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat, yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman.

    Peninggalannya itu ialah "Kitab Allah Al-Qur'an" yang diwahyukan kepadanya dan "Sunnah"nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya).

    Kedua - Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia:

    Jaminan keselamatan yang diberi melalui "Kitab Allah" dan "Sunnah RasulNya itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami; tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki.

    Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.

    Hadis Kelima

    5- عَنْ الْعِرْبَاضِ بْنِ سَارِيَةَ قَالَ وَعَظَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا بَعْدَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ رَجُلٌ إِنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ يَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَعَلَيْهِ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ. (الترمذي)

    وعند أبي داود: "وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ".

    5 - Dari Al-'Irbaadh bin Sariyah, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menasihati dan mengingati kami, pada suatu hari lepas sembahyang Subuh, dengan satu nasihat dan peringatan yang sangat-sangat mendalam dan berkesan, yang menjadikan (Pendengar-pendengarnya) menitiskan air mata dan menjadikan hati (mereka) gerun gementar. Lalu berkatalah salah seorang lelaki (di antara kami): "Sesungguhnya nasihat ini nasihat orang yang memberi selamat tinggal, maka apakah pesanan yang tuan hendak pesankan kepada kami Ya Rasulullah? " Baginda menjawab: "Aku berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah, dan mendengar serta taat kepada (pemerintah kamu) sekalipun ia seorang hamba bangsa Habsyi, kerana sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup (selepas ku) akan melihat perselisihan yang banyak dan (dengan yang demikian) berjaga-jagalah kamu, jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya perkara-perkara itu adalah sesat; oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam zaman berlakunya yang demikian, maka hendaklah ia menurut jalanku dan jalan khalifah-khalifah (ku) yang mendapat pimpinan lagi beroleh hidayat pertunjuk; berpegang teguhlah kamu kepadanya dengan seteguh-teguhnya."

    (Tirmizi)

    Menurut hadis Abu Daud, (Baginda bersabda): "Dan berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya tiap-tiap perkara yang diada-adakan) itu bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat. "

    Hadis yang kelima ini mengandungi:

    (1) Rasulullah s.a.w. seorang ahli pidato yang amat bijaksana.
    (2) Dalam pidato-pidatonya, kerapkali Baginda berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah.
    (3) Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada pemerintah dengan tidak memandang kepada asal keturunannya.
    (4) Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam.
    (5) Jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al Rashidin hendaklah sentiasa dijadikan pedoman.

    Huraiannya:

    Pertama - Rasulullah s.a.w. Seorang Ahli Pidato Yang Amat Bijaksana:

    Sebagai seorang Rasul yang terpilih, yang sentiasa mendapat pimpinan dari Allah s.w.t. melalui malaikat Jibril (a.s.), sudah tentu nasihat-nasihat dan pengajaran Baginda memberi kesan yang sangat-sangat mendalam dan mempengaruhi pendengar-pendengarnya, sehingga hati yang keras menjadi lembut, yang pengecut menjadi berani, dan yang cuai menjadi tekun, bertindak dengan bersungguh-sungguh.

    Kedua - Soal Taqwa:

    Dalam pidatonya, Baginda kerapkali berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah s.w.t.

    "Taqwa" ialah cara memelihara dan menjaga diri dan lain-lainnya kerana takut terkena sebarang perkara yang merosakkan atau yang mencacatkan.

    Kerosakan-kerosakan itu ada kalanya mengenal hidup di dunia, dan ada kalanya mengenai hidup di akhirat.

    Bagi menjaga dan mengawal kerosakan atau kecacatan hidup di dunia, hendaklah dipelajari ilmu pengetahuan yang berhubung dengan undang-undang kejadian alam serta diikuti dan dijalankan dengan sempurna.

    Misalnya bagi mencegah kekalahan dan kerosakan dalam perjuangan, hendaklah mengetahui cara-cara dan peraturan melawan musuh, serta menyediakan alat-alat kelengkapan yang dikehendaki oleh keadaan dan zaman. Selain dan itu hendaklah pula disertakan dengan kekuatan rohani iaitu bersatu hati, tetap dan tabah serta bertawakal kepada Allah Taala.

    Demikian juga, bagi menjaga kerosakan atau kecacatan hidup di akhirat, hendaklah mencegahnya dengan iman yang ikhlas, tauhid yang tulin, dan amal yang salih serta menjauhi segala yang bertentangan dengan semuanya itu, seperti bawaan syirik, perbuatan maksiat, dan akhlak yang memburukkan seseorang atau masyarakat.

    Pendeknya "Bertaqwa" ialah berusaha menjalankan sebab-sebab yang dijadikan Tuhan untuk mencapai musababnya - Seperti beriman dan beramal salih untuk mencapai nikmat kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat kelak dan berusaha menurut jalan dan peraturan yang betul untuk mencapai kejayaan di dunia.

    Ketiga - Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada ketua, sekalipun ketua itu dari golongan hamba abdi:

    Seseorang ketua, dengan sifatnya pemegang teraju pemerintahan sesebuah negara, atau sesebuah masyarakat, atau sesebuah pejabat, atau lain-lainnya, wajib dipatuhi oleh set!p orang yang di bawah perintahnya, selagi tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh sebuah hadis, yang maksudnya:

    "Tidak harus mentaati seseorang makhluk dalam perkara melanggar perintah Tuhan".

    Patuh setia dan seluruh rakyat itu menjadikan segala urusan pemerintahan berjalan dengan baik, dapat memberikan hak-hak kepada tuan punya masing-masing mengikut apa yang wajib. Kalau tidak, akan berlakulah berbagai-bagai huru-hara.

    Memandang kepada besarnya kepentingan taat setia terhadap ketua atau pemerintah, dan besarnya bencana ketiadaan taat setia itu maka Rasulullah s.a.w. wajibkan juga mematuhi walaupun ketua atau pemerintah itu dari golongan hamba abdi, sekiranya ia dengan ilmu pengetahuannya berpeluang menjadi ketua, pada hal ketua atau pemerintah itu - selain daripada ilmu pengetahuan yang melayakkannya - menurut dasar syarak hendaklah dari keturunan yang mu1ia.

    Keempat - Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam:

    Amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. telah berlaku dan menjadi kenyataan. Orang-orang Islam telah pun mengalami perselisihan sesama sendiri, sama ada dalam soal-soal i'tikad kepercayaan dan amal ibadat, mahu pun dalam soal-soal politik, sehingga menyebabkan berlakunya

    perkara-perkara yang tidak diingini

    Kelima - Perlunya berpandu kepada jalan bawaan Rasulullah S.A.W. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Ar-Rasyidin:

    Sebagaimana perlunya pedoman dalam perjalanan atau pelayaran untuk mengelakkan sesat barat, maka demikianlah pula perlunya berpandukan jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al-Rasyidin dalam bawaan hidup seseorang sehari-hari, lebih-lebih lagi pada masa berlakunya pertelingkahan.

    Setelah memberi amaran tentang berlakunya persengketaan dalam kalangan umatnya, Baginda iringi pula dengan pesanan supaya mereka sentiasa berpandukan kepada jalannya dan jalan khalifah-khalifahnya, serta melarang keras dari melakukan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama - dengan berdasarkan akal fikiran semata-mata dan keinginan hawa nafsu - kerana buruk padahnya.

    Hadis Keenam

    6- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. (الترمذي)

    وعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَهُ.

    6- Dari Abdullah bin 'Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi sesungguhnya akan berlaku kepada umatku perkara-perkara yang betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku kepada Bani Israil, sehingga jika ada di antara mereka orang yang berzina dengan ibunya dengan berterang-terang, nescaya akan ada dalam kalangan umatku orang yang melakukan perkara yang demikian; dan sesungguhnya kaum Bani Israil telah berpecah belah kepada tujuh puluh dua puak dan umatku pula akan berpecah belah kepada tujuh puluh tiga puak, semuanya (akan dihumbankan) dalam neraka kecuali satu puak sahaja". Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Siapa dia puak yang satu itu ya Rasulullah? " Baginda menjawab: "Puak itu ialah puak yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku." (Tirmizi)

    Menurut hadis Abu Daud, ada tambahan, iaitu: "Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-adakan bid'ah sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya - tidak ada satu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya."

    Hadis yang keenam ini mengandungi:

    Penegasan Rasulullah s.a.w. tentang perkara-perkara buruk yang akan berlaku dalam kalangan umatnya yang wajib dijauhi, supaya mereka tetap teguh menurut jalannya dan jalan sahabat-sahabatnya.

    Huraiannya:

    Perkara-perkara buruk yang diperingati oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. itu ialah:

    Pertama - Umat Islam akan melakukan penyelewengan dari ajaran-ajaran Islam yang sebenar, seperti yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil.

    Baginda menyebutkan perihal kaum Bani Israil ini kerana penyelewengan mereka adalah seburuk-buruk contoh yang wajib dijauhi dan disingkirkan.

    Meskipun mereka pada mulanya diberikan berbagai nikmat dan keistimewaan, diturunkan kepada mereka kitab-kitab suci, dan diutuskan kepada mereka beberapa banyak Nabi-nabi dan Rasul-rasul, tetapi kebanyakan mereka tetap kufur ingkar, dan terus melakukan berbagai-bagai jenayah dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh akhlaknya, hilang lenyap peri kemanusiaannya, dan berpecah belah kepada berbagai-bagai puak dalam kepercayaan dan fahaman-fahamannya serta mengadakan berbagai-bagai helah untuk memutarbelitkan ajaran-ajaran dan hukum-hukum agamanya. Merekalah juga yang telah menimbulkan dan mengembangkan berbagai-bagai isme atau fahaman, seperti fahaman komunis, fahaman kapitalis dan lain-lainnya yang merosakkan ketenteraman dan susunan masyarakat serta perekonomian negara-negara dunia yang dijalannya. Bahkan merekalah yang mengembangkan kebudayaan kuning yang lucah itu dan melanggar tata tertib dan kesopanan - melalui filem-filemnya, akhbar-akhbar dan majalah-majalahnya, fesyen-fesyen pakaiannya, dan kelab-kelab malamnya, sehingga berhaklah mereka dilaknat oleh Allah Taala di dalam kitab-kitab suciNya, dilaknat oleh malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, dan seluruh umat manusia yang berperi kemanusiaan.

    Baginda juga pernah memberi ingat dengan tegasnya - sebagaimana yang tersebut dalam salah satu hadisnya: Bahawa umatnya akan terpengaruh dan menjadi pak turut dengan buta tuli kepada segala apa jua yang datangnya dari kaum Yahudi dan Nasrani.

    Baginda menyebutkan secara khusus kedua-dua kaum itu, kerana mereka, selain diberikan kitab-kitab dan diutuskan Rasul-rasul yang memimpin mereka, merekalah sahaja yang berpengaruh dan banyak angkaranya pada zaman Baginda. Kalau kaum-kaum yang diberikan kitab dan pimpinan itu diingatkan kita jangan terpengaruh kepada penyelewengannya, maka kaum-kaum yang tidak diberi kitab dan tidak pula menerima pimpinan, lebih-lebih lagi wajib kita menolak bulat-bulat segala apa yang mereka sogok-sogokkan kepada kita dari perkara-perkara yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam kita seperti yang kita saksikan pada zaman kita ini - dari kaum-kaum Majusi, Komunis, Etheis dan lain-lainnya.

    Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. mengenai penyelewengan yang akan berlaku dalam kalangan umatnya itu telahpun berlaku dan menjadi kenyataan. Sebagaimana yang disaksikan sekarang ada di antara orang-orang Islam yang suka meniru bulat-bulat apa yang datang dari orang-orang yang bukan Islam, meskipun perkara-perkara yang ditiru itu bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam.

    Di antara perkara-perkara itu ialah perbuatan setengah perempuan-perempuan Islam yang - selain daripada tidak mematuhi perintah Al-Qur'an menyuruh mereka menutup kepala meliputi belahan leher bajunya - mereka pula membesarkan hiasan kepalanya dengan berbagai-bagai cara yang di antaranya menggunakan rambut-rambut palsu. Ada pula yang menghaluskan bulu keningnya. Ada juga yang berpakaian tetapi mereka seolah-olah bertelanjang kerana nipisnya dan tidak menutup aurat. Ada juga yang berjalan di khalayak ramai dengan cara yang tidak sopan seperti lagak perempuan-perempuan jahat. Ada pula di antara mereka yang memakai pakaian lelaki dan ada yang berlagak seperti lelaki, sedang segala perbuatan yang demikian adalah dikutuk oleh Islam.

    Selain dari itu, terdapat wanita-wanita yang rela dipamirkan badannya, yang menggunakan pakaian yang sempit dan singkat, mendedahkan aurat, sengaja memperlihatkan bentuk badan, dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan hukum dan kesopanan Islam.

    Ada pula di antaranya yang keluar dan rumahnya dengan menggunakan berbagai perhiasan yang menarik perhatian, dengan menggunakan berjenis-jenis bedak muka dan gincu bibir, serta memakai bau-bauan yang harum pada hal semuanya itu - seperti juga segala perhiasan yang lain - hanya ditentukan dan digalakkan oleh agama supaya dilakukan di rumah khasnya untuk suaminya.

    Wanita-wanita Islam dilarang memperlihatkan hiasan tubuhnya kecuali kepada suami dan orang-orang lelaki yang menjadi mahramnya serta orang-orang yang tertentu, seperti yang tersebut di dalam Al-Qur'an al-Karim (Ayat 31, Surah Al-Nur).

    Demikian juga halnya perkara-perkara buruk yang berlaku dalam kalangan kaum lelaki. Ada di antara orang-orang lelaki Islam yang telah hilang langsung perasaan cemburunya terhadap isterinya dan perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya, sehingga dia hampir-hampir bersifat dengan sifat orang "Dayus" yang dikutuk oleh Islam dan diharamkan oleh Allah dari masuk syurga, seperti sikapnya membiarkan isterinya atau perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya bebas keluar, bebas bercampur gaul dengan orang-orang lelaki yang bukan mahramnya, bebas dipeluk oleh lelaki asing dalam pesta-pesta tari menari, dan sebagainya.

    Ada pula lelaki yang berlagak dan berhias seperti perempuan, dan yang memakai pakaian perempuan.

    Semuanya itu, sama ada yang dilakukan oleh kaum lelaki atau kaum perempuan adalah haram dan dikutuk sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadis-hadisnya, serta menyatakan balasan buruk masing-masing, sehingga ditegaskan ada di antara mereka yang melakukan perkara-perkara buruk itu, bukan sahaja tidak akan masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium baunya, sedang bau syurga boleh didapati dan jarak yang jauh.

    Kedua - Akan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam mengenai akidah kepercayaan dan amalan agama, seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israil, pada hal perpecahan yang demikian bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, dan semua puak yang berpecah itu salah dan sesat belaka, kecuali satu sahaja, iaitu puak yang tetap menurut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. dan bawaan sahabat-sahabatnya, dengan tidak mengurangi, menokok tambah, atau menyeleweng sedikit pun.

    Selain dan itu, menurut tambahan yang terdapat pada hadis Abu Daud yang tersebut, Baginda mengingatkan bahawa akan timbul dalam kalangan umatnya beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit hawa nafsu suka mengurangi, menokok tambah, atau menyeleweng dari jalan yang sebenar, seperti menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya.

    Ingatan yang tegas dan jelas yang diberikan oleh Baginda itu, ialah supaya umatnya tetap menurut jalan pimpinannya dan bawaan sahabat-sahabatnya.

    Mestika Hadis- NILAI SEGALA AMAL BERDASARKAN NIAT

    Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesiapa yang berusaha dengan tujuan mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia (15, Surah Hud).

    "Sesiapa yang berusaha dengan tujuan mahukan faedah akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan kepada faedah ditujunya itu." (20, Surah As-Syura).

    "Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan tujuan mendapat keredhaan Allah maka sudah tentu Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar. " (114, Surah An-Nisa').

    Hadis Ketiga Puluh Lapan

    38- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (البخاري ومسلم)

    38 - Dari Umar bin Al-Khattab ra., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal (gerak geri anggota zahir manusia yang disengajakan) tidak berlaku melainkan dengan adanya satu-satu niat dan sesungguhnya tiap-tiap seorang, hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas yang tersebut, sesiapa yang berhijrah dengan tujuan mencapai keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan seorang perempuan, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa yang ditujunya sahaja".

    (Bukhari dan Muslim)

    Hadis yang ketiga puluh lapan ini menerangkan:

    Nilai segala amal berdasarkan niat.

    Huraiannya:

    Perkataan "Niat" bererti:

    (1) Tujuan yang membangkit dan menggerakkan hati seseorang "hendak" melakukan sesuatu perkara yang tertentu.

    (2) Perasaan berbangkitnya dan tergeraknya hati hendak melakukan perkara itu.

    Pengertian yang pertama menjadi asas untuk menilai baik buruknya perkara yang hendak dilakukan itu.

    Pengertian yang kedua pula menjadi asas untuk diiktiraf dan dikirakan perkara yang dilakukan itu.

    Tiap-tiap satu perbuatan atau amal yang dilakukan oleh seseorang tak dapat tidak didorong oleh niatnya; dengan sebab itu maka tiap-tiap amal - yang baik dan yang buruk - dinilai berasaskan niat orang yang melakukannya. Cara menilai yang demikian menjadi asas bagi segala amal dalam Islam.

    Menurut asas yang tersebut maka satu-satu amal yang dikerjakan oleh dua orang dengan dorongan dua niat yang berlainan maka nilainya dikira berlainan pula.

    Bagi menjelaskan keadaan asas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda menerangkan amal berhijrah sebagai contoh. Berhijrah - dari Mekah ke Madinah - pada masa itu adalah diwajibkan atas orang-orang Islam. Dalam pada itu amalan berhijrah itu diberi nilaian yang berlainan dengan sebab berlainan niat orang yang melakukannya, sebagaimana yang ternyata dari sabda Baginda dalam hadis ini.

    Soal Niat:

    Sebelum memulakan sesuatu amal hendaklah terlebih dahulu memperbaiki niat dan keikhlasannya, dan hendaklah mengambil tahu dan memikirkan halnya dengan teliti, kerana niat itu menjadi asas dan segala amal tetap menjadi pengikutnya; - jika baik niat seseorang maka baiklah amalnya dan jika buruk dan rosak niatnya maka buruklah dan rosaklah pula amalnya.

    Oleh itu, tiap-tiap seorang janganlah ia menuturkan sesuatu perkataan atau mengerjakan sesuatu amalan atau berniat hendak menjalankan sesuatu urusan, melainkan hendaklah ia menjadikan niatnya semata-mata untuk "bertaqarrub" (mendampingkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Taala bagi amal yang diniatkan itu.

    Benar atau tidaknya niat yang didakwakan oleh seseorang:

    Disyaratkan bagi benarnya niat seseorang hendaklah disertakan dengan amal; maka sesiapa yang menuntut ilmu misalnya dan mendakwa bahawa niatnya pada mencapai ilmu itu ialah untuk beramal dan mengajarkannya, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapat ilmu itu, maka nyatalah niatnya yang tersebut tidak benar.

    Juga sesiapa yang mencari kekayaan dunia dan mendakwa bahawa ia mencari kekayaan dunia itu ialah dengan tujuan "berdikari" - tidak bergantung kepada orang dan kerana hendak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, memberi sedekah kepada fakir miskin dan melakukan silaturahim kepada kaum kerabat, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapatnya, maka nyatalah tidak benar niatnya itu.

    Niat tidak dapat mengubah keadaan maksiat:

    Sebenarnya niat itu tidak memberi kesan dan tidak dapat mengubah sama sekali akan hakikat sesuatu perbuatan buruk atau sesuatu maksiat.

    Perkara yang buruk tetap buruk, walaupun orang yang melakukannya mendakwa bahawa perkara itu dilakukan dengan niat yang baik.

    Misalnya: Orang yang meminum arak dengan niat hendak menguatkan badan untuk berbuat ibadat konon, maka niatnya yang demikian tidak menjadikan perbuatannya itu baik, bahkan niat mendampingkan diri dengan melakukan maksiat itu dikirakan niat yang jahat dan niat itu juga menambahkan kejahatan kepada maksiat yang dilakukan itu.

    Oleh itu, tiap-tiap seorang sayugianya berusaha dengan bersungguh-sungguh menguasai niatnya untuk mengharapkan keredhaan Allah semata mata, dan sayugianya pula meniatkan ketika melakukan perkara-perkara yang harus sebagai bantuan untuk menolongnya mengerjakan taat kepada Allah Taala.

    Elok juga diketahui bahawa sesuatu amal boleh dihimpunkan padanya beberapa niat dan orang yang mengerjakannya mendapat pahala bagi tiap-tiap niat yang diniatkannya itu.

    Misalnya: Dalam perkara-perkara taat, apabila seseorang membaca Al-Qur'an hendaklah meniatkan untuk bermunajat dengan Allah Taala, kerana orang yang membaca Al-Qur'an adalah orang yang bermunajat dengan Tuhannya; dan hendaklah juga meniatkan untuk mendapat ilmu pengetahuan dari Al-Qur'an, kerana Al-Qur'an menjadi sumbernya dan juga hendaklah ia meniatkan untuk mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri dan pendengar-pendengarnya dengan bacaan Al-Qur'an itu; dan lain-lain lagi dan niat-niat yang baik.

    Dalam perkara-perkara yang harus pula, apabila makan minum hendaklah ia meniatkan untuk mematuhi perintah Tuhannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang Kami kurniakan kepada kamu," dan juga meniatkan dengan makan minum itu untuk mendapat tenaga dan kekuatan yang memudahkannya mengerjakan taat kepada Allah Taala dan juga meniatkan untuk melahirkan syukur kepada Allah yang memerintahkan dengan firman-Nya, maksudnya: "Makanlah kamu dari rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya" dan demikianlah seterusnya yang sayugianya dilakukan mengenal niat-niat yang baik.

    Sayugia diketahui, seseorang itu tidak sunyi - sama ada ia berniat - untuk melakukan sesuatu perkara dari salah satu dari tiga keadaan:

    Pertama - Bahawa ia berniat serta bertindak melakukannya.

    Kedua - Ia berniat dan tidak bertindak melaksanakannya sedang ia boleh bertindak; maka hukum keadaan niat yang demikian dan keadaan niat yang pertama ada diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. (seperti yang akan dinyatakan dalam hadis 39);

    Ketiga - ia berniat untuk melakukan sesuatu perkara, sedang ia tidak mampu melakukannya, lalu ia berkata dalam hatinya: "Kalaulah aku terdaya melakukannya nescaya aku lakukan," maka ia beroleh balasan bagi apa yang diniatkannya itu, sama seperti yang didapati oleh orang yang mengerjakannya.

    Hendaklah diingat lagi, sesuatu amal itu ada kalanya dikerjakan dengan perasaan riak semata-mata dan ada kalanya bercampur dengan riak. Kedua-dua jenis ini tidak ada pahala padanya bahkan haram dilakukan. Demikian juga tidak ada pahala bagi mana-mana amal yang dikerjakan semata-mata dengan tujuan mendapat keuntungan dunia, seperti berjuang di medan perang untuk mendapat harta rampasan sahaja; tetapi kalau perjuangannya itu untuk meninggikan agama Allah serta mendapat harta rampasan perang, maka perjuangannya yang tersebut mendapat pahala, walaupun tidak sepenuhnya.

    Selain dari itu, sesiapa yang melakukan sesuatu amal ibadat, kemudian terlintas di hatinya perasaan riak semasa ia mengerjakannya, lalu ia menolaknya dengan serta merta maka tidaklah tercacat amal ibadatnya itu; masalah ini diakui sahnya secara ijmak. Kalau ia teruskan perasaan riak itu maka hampalah amal ibadatnya yang tersebut dari beroleh pahala - kalaulah perkara yang dikerjakannya itu berhubung antara satu dengan yang lain hingga ke akhirnya, seperti yang terdapat dalam sembahyang dan juga yang terdapat di dalam amalan haji; tetapi kalau perkara yang dikerjakannya itu tidak berhubung antara satu dengan yang lain, seperti membaca Al-Qur'an, bertasbih dan bertahlil, maka ia hanya mendapat pahala bagi bahagian yang tidak ada perasaan riak padanya; kalau pula satu-satu amal ibadat yang dikerjakan itu sempurna dan bersih suci dari segala yang mencacatkannya, kemudian ia dipuji orang lalu ia bergembira dengan pujian itu, maka yang demikian tidak merosakkan ibadatnya yang telah sempurna itu.

    Hadis Ketiga Puluh Sembilan

    39- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً. (البخاري ومسلم)

    39- Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi s.a.w, mengenai apa yang disampaikannya dari Tuhannya (hadis Qudsi), sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Ia menerangkan yang demikian, iaitu sesiapa yang tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kebaikan, kemudian ia tidak melakukannya, nescaya Allah menuliskan gerak hatinya hendak melakukan itu satu kebaikan yang sempurna sisiNya (selagi ia tidak berniat hendak meninggalkan membuatnya); dan jika orang itu tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kebaikan, lalu dilakukannya, nescaya Allah menuliskan kebaikan itu di sisiNya dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda, (bahkan) sehingga sampai berganda-ganda banyaknya dan jika seseorang tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kejahatan, kemudian ia tidak melakukannya (kerana Allah), nescaya Allah tukarkan kejahatan yang tidak dilakukan (keranaNya) itu menjadi satu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan jika tergerak hatinya hendak melakukan kejahatan itu, kemudian ia melakukannya, nescaya Allah menuliskannya satu kejahatan sahaja."

    (Bukhari dan Muslim)

    Hadis yang ketiga puluh sembilan ini menerangkan bahawa:

    (1) Kebaikan dan kejahatan, Allah jua yang menetapkannya.

    (2) Niat seseorang ada nilainya.

    Huraiannya:

    (1) Soal kebaikan dan kejahatan:

    Boleh dikatakan semua orang suka kepada perkara-perkara yang baik dan bencikan perkara-perkara yang jahat, tetapi soal baik dan jahat tidak dapat ditentukan oleh manusia dengan tepatnya, kerana masing-masing mempunyai tabiat dan perasaan hati yang berlainan maka berlainan pula pertimbangan tentang perkara yang baik dan yang jahat itu.

    Dengan yang demikian, maka kebaikan dan kejahatan itu hanya Allah yang menentukannya, kerana Allah jualah yang mengetahui hakikat sesuatu perkara dan yang menentukan hukumnya serta memberi balasan mengenainya.

    (2) Nilaian Niat:

    Dalam hal melakukan kebaikan dan kejahatan, niatnya sahaja pun sudah ada nilainya. Orang yang berniat hendak melakukan sesuatu perkara yang baik tetapi ia tidak melakukannya, maka Allah Taala memberi kepadanya satu kebaikan yang sempurna kerana kejayaannya menentang dan membatalkan niatnya yang jahat itu sehingga ia tidak melangsungkan kejahatan yang diniatkannya.

    Balasan Allah Taala yang demikian ialah sebagai menilai niat seseorang. Mengenai amal perbuatan maka lain pula nilainya. Tiap-tiap satu amal kebajikan, diberi - sekurang-kurangnya - sepuluh kali ganda, manakala tiap-tiap satu amal kejahatan dibalas dengan satu kejahatan sahaja.

    Dengan ini nyatalah setakat mana melimpahnya kemurahan Allah Taala kepada setiap hamba-Nya.

    Hadis Keempat Puluh

    40- عَنْ أَبِي كَبْشَةَ الْأَنْمَارِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ثَلَاثٌ أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ وَأُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ قَالَ فَأَمَّا الثَّلَاثُ الَّذِي أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ فَإِنَّهُ مَا نَقَّصَ مَالَ عَبْدٍ صَدَقَةٌ وَلَا ظُلِمَ عَبْدٌ بِمَظْلَمَةٍ فَيَصْبِرُ عَلَيْهَا إِلَّا زَادَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا عِزًّا وَلَا يَفْتَحُ عَبْدٌ بَابَ مَسْأَلَةٍ إِلَّا فَتَحَ اللَّهُ لَهُ بَابَ فَقْرٍ وَأَمَّا الَّذِي أُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ فَإِنَّهُ قَالَ إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ عَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مَالًا وَعِلْمًا فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ وَيَعْلَمُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ حَقَّهُ قَالَ فَهَذَا بِأَفْضَلِ الْمَنَازِلِ قَالَ وَعَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِلْمًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ مَالًا قَالَ فَهُوَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِي مَالٌ عَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ قَالَ فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ قَالَ وَعَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ عِلْمًا فَهُوَ يَخْبِطُ فِي مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ لَا يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَا يَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ وَلَا يَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقَّهُ فَهَذَا بِأَخْبَثِ الْمَنَازِلِ قَالَ وَعَبْدٌ لَمْ يَرْزُقْهُ اللَّهُ مَالًا وَلَا عِلْمًا فَهُوَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِي مَالٌ لَعَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ قَالَ هِيَ نِيَّتُهُ فَوِزْرُهُمَا فِيهِ سَوَاءٌ. (الترمذي وغيره)

    40 - Dari Abu Kabsyah al-Anmari r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tiga perkara, aku bersumpah menegaskan kebenarannya, iaitu tiadalah berkurang harta seseorang dengan sebab dikeluarkan sedekahnya dan tiadalah seseorang itu dizalimi dengan sesuatu kezaliman yang ia bersabar menanggungnya melainkan Allah menambahkan dia dengan kemuliaan dan tiadalah seseorang memulakan sesuatu cara meminta sedekah melainkan Allah membukakan kepadanya pintu kepapaan dan aku menerangkan kepada kamu satu hadis pengajaran maka hafazlah akan dia (untuk dijadikan iktibar)"; (kemudian Baginda menerangkannya) sabdanya: "Sebenarnya (habuan) dunia (mengenai ilmu agama dan harta) hanyalah terbahagi kepada empat (keadaan) manusia: Pertama - orang yang telah dikurniakan Allah dengan harta dan juga dengan ilmu agama, maka ia menggunakan ilmunya dengan berlaku taat kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya dan menggunakan hartanya pada menghubungkan silaturahim kaum kerabatnya, serta ia mengetahui hak Allah pada nikmat-nikmat yang dikurniakan itu; maka orang yang demikian bersifat dengan semulia-mulia keadaan (di sisi Allah). Dan kedua - orang yang telah dikurniakan Allah dengan ilmu agama sahaja dan tidak dikurniakannya dengan harta serta ia berkata dengan niatnya yang benar: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu (yang dermawan) itu", maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan baik kedua-dua orang itu adalah sama. Dan ketiga - orang yang telah dikurniakan Allah harta dan tidak dikurniakannya ilmu pengetahuan agama, maka ia menyalahgunakan hartanya dengan tidak berdasarkan ilmu, - ia tidak memelihara dirinya dengan harta itu dari azab Tuhan dan ia juga tidak menggunakan hartanya itu untuk silaturahim dan tidak pula mengetahui akan hak Allah pada hartanya itu; maka orang yang demikian, bersifat dengan seburuk-buruk keadaan. Dan keempat - orang yang tidak dikurniakan Allah dengan harta dan tidak juga dengan ilmu agama, lalu ia berkata: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu itu", maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan buruk kedua-dua orang itu adalah sama. "

    (Tirmizi dan Lain-lainnya).

    Hadis yang keempat puluh ini menerangkan tentang:

    (1) Beberapa perkara yang baik dan yang buruk.

    (2) Kelebihan niat yang suci dan akibat niat yang buruk.

    Huraiannya:

    Perkara-perkara yang baik dan yang buruk:

    Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menerangkan tentang tiga perkara, dua di antaranya sungguh baik dilakukan dan yang satu lagi haram dilakukan.

    Pertama - Perkara bersedekah.

    Kebanyakan manusia merasa berat hendak bersedekah atau menghulurkan derma bakti, kerana pada lahirnya perkara itu mengurangkan harta bendanya.

    Oleh itu Baginda menegaskan dalam hadis ini, bahawa harta seseorang tidak akan berkurang sama sekali disebabkan ia bersedekah sedikit sebanyak daripadanya, bahkan dengan apa jalan pun hartanya itu akan bertambah kembang dan beroleh berkat selain daripada pahala yang akan didapatinya

    Kedua - Bersabar terhadap sesuatu kezaliman:

    Kebanyakan manusia tidak sanggup bersabar terhadap sesuatu kezaliman yang dilakukan kepadanya bahkan ia merasa terhina menanggungnya.

    Tentang ini Baginda menegaskan bahawa bersabar dalam menghadap kezaliman tidak sekati-kali akan merendah atau menghina orang yang bersabar itu bahkan tetap akan menambahkan kemuliaannya, kerana ia selain daripada mendapat pahala sabarnya, ia pula dihargai dan dipandang baik; manakala orang yang menganiayakannya dikutuk oleh Allah dan dibenci oleh masyarakat.

    Ketiga - Keburukan perbuatan meminta sedekah:

    Setengah orang, dengan sebab bawaannya yang keji, lebih suka meminta sedekah daripada berusaha ikhtiar untuk menyara hidupnya atau membanyakkan hartanya.

    Mengenai hal ini, Baginda menegaskan bahawa orang yang melakukan perbuatan yang demikian amatlah buruk akibatnya, kerana selain dari beroleh kemurkaan Allah, jiwanya sentiasa papa dan tamak haloba sekalipun banyak harta yang dapat dikumpulkannya.

    Sayugia diketahui bahawa:

    (a) Meminta sedekah adalah satu perbuatan haram, tidak dihalalkan melainkan kepada salah satu dari tiga orang yang dinyatakan oleh hadis yang disebut oleh Muslim dan lain-lainnya, iaitu:

    Pertama - Orang yang sungguh-sungguh tidak berada atau tidak berupaya.

    Kedua - Orang yang harta bendanya habis ditimpa bencana.

    Ketiga - Orang yang terkena membayar hutang yang ditanggungnya kerana menolak satu-satu kemudaratan atau membaiki satu-satu keburukan yang berlaku ke atas dirinya atau di dalam masyarakatnya.

    (b) Keburukan akibat perbuatan yang haram itu telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam beberapa hadis, di antaranya hadis-hadis yang menyatakan bahawa:

    (1) Sesiapa yang meminta harta orang kerana hendak membanyakkan hartanya maka ia hanya membanyakkan bara api kepada dirinya; oleh yang demikian terpulanglah kepadanya sama ada hendak mensedikitkan bara itu atau hendak membanyakkannya.

    (2) Sesiapa yang meminta sedekah pada hal ia ada mempunyai kadar yang mencukupi untuk keperluan pagi dan petangnya maka ia hanya membanyakkan bara api neraka kepada dirinya.

    (3) Sesiapa yang selalu meminta sedekah, maka ia akan dibangkitkan pada hari qiamat kelak dengan keadaan mukanya tidak ada sedikit daging pun.

    (c) Meminta sedekah ada kalanya dengan cara berterus terang dan ada kalanya dengan cara tipu helah, umpamanya mendakwa atau berpura-pura bersifat miskin, alim, orang bijak pandai atau sebagainya, maka sesiapa yang diberikan sesuatu kerana dipercayai ada padanya satu-satu sifat yang didakwakannya itu sedang ia pada hakikatnya tidak bersifat demikian, haram ia menerima pemberian itu dan tidak menjadi miliknya kalau ia menerimanya; demikian juga hukumnya sesiapa yang diberikan sesuatu kerana takut atau malu kepadanya - apa yang diterimanya tidak menjadi miliknya dan haram ia memakannya atau menggunakannya.

    (d) Bagi mengelakkan keburukan akibat meminta sedekah, maka Nabi Muhammad s.a.w. yang berperasaan belas dan kasih sayang kepada orang-orang yang beriman, menggalakkan umatnya berusaha mencari sara hidup dengan bekerja sendiri sekali pun seseorang itu terpaksa membuat kerja yang berat dan tidak disukai hatinya asalkan tidak dilarang oleh agama.

    Dalam kitab-kitab hadis banyak didapati galakan itu, di antaranya hadis-hadis yang maksudnya:

    (1) Sesungguhnya pemergian seseorang ke bukit mencari kayu api kemudian ia memikulnya dan menjualnya untuk mendapat keperluan hidupnya, adalah lebih baik dan ia meminta kepada orang, kerana terselamatnya daripada menanggung keberatan budi pemberian orang itu atau keburukan rasa kecewa kalau tidak diberinya.

    (2) Sesiapa yang berusaha mencari keperluan hidupnya, keperluan hidup ibu bapanya yang tidak berada dan tidak terdaya bekerja atau keperluan orang tanggungannya supaya terselamat daripada kepapaan dan perbuatan yang tidak halal maka ia berusaha pada jalan yang diredhai Allah dan sesiapa yang berusaha mencari untuk bermegah-megah dengan kekayaan maka ia berusaha pada jalan syaitan yang kena rejam

    (3) Sesungguhnya Allah suka dan kasih kepada orang mukmin yang berusaha mencari penghidupan yang halal sama ada dengan jalan bercucuk tanam, berniaga, bertukang dan sebagainya.

    (4) Di antara dosa-dosa seseorang, ada dosa yang tidak ada baginya "kaffarah" selain daripada menanggung kedukaan dan kesusahan dalam mencari penghidupan.

    (5) Sesiapa yang bermalam dengan keadaan penat lesu kerana mencari penghidupan yang halal, bermalamlah ia dengan keadaan diberikan keampunan

    (e) Sesiapa yang diberikan sesuatu pemberian dengan tidak ia memintanya dan tidak pula ia berharap-harap supaya diberikan kepadanya serta ia tidak mengetahui bahawa pemberian itu haram diterimanya, maka digalakkan dia menerima pemberian itu untuk menyara hidupnya dan orang tanggungannya atau untuk memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya.

    Niat yang suci dan sebaliknya.

    Nikmat pemberian yang sangat-sangat diperlukan dalam alam kehidupan ini ialah nikmat kerohanian (ilmu pengetahuan) dan nikmat kebendaan (harta kekayaan).

    Kedua-dua nikmat itu tidak akan mendatangkan kebaikan kepada orang yang mendapatnya melainkan dengan menggunakannya pada jalan yang diredhai Allah; jika tidak maka buruk padahnya.

    Dalam pada itu, orang yang tidak mendapat kedua-dua nikmat itu, tetapi ia mempunyai niat yang benar lagi suci - bahawa kalau ia mendapat nikmat itu ia akan menggunakannya pada jalan yang diredhai Allah - maka ia juga akan beroleh pahala disebabkan niatnya yang baik itu.

    Sebaliknya kalau niatnya buruk maka buruklah pula akibatnya, seperti yang diterangkan dalam hadis ini

    Hadis Keempat Puluh Satu

    41- عَنْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْزُو جَيْشٌ الْكَعْبَةَ فَإِذَا كَانُوا بِبَيْدَاءَ مِنْ الْأَرْضِ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ وَفِيهِمْ أَسْوَاقُهُمْ وَمَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ قَالَ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ ثُمَّ يُبْعَثُونَ عَلَى نِيَّاتِهِمْ (البخاري ومسلم)

    41 - Dari `Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Satu angkatan tentera hendak menyerang Ka'bah, maka apabila mereka berada di suatu tanah lapang, ditimbuskan mereka seluruhnya dari awal hingga ke akhirnya!" Sayidatina Aisyah merasa musykil serta bertanya dengan katanya "Ya Rasulu11ah! bagaimana mereka ditimbuskan seluruhnya pada hal ada di antaranya orang-orang yang berjual beli dan orang-orang yang bukan dari tentera itu?" Baginda menjawab: "(Ya!) mereka seluruhnya ditimbuskan, kemudian mereka dibangkitkan pada hari qiamat (dan masing-masing dibalas) menurut niatnya."

    (Bukhari dan Muslim)

    Hadis yang keempat puluh satu ini menerangkan:

    (1) Akibat buruk orang yang mencabuli sesuatu yang mulia di sisi Allah Taala.

    (2) Sesiapa yang berada dalam kalangan orang-orang yang melakukan maksiat atau fitnah kekacauan akan menanggung dalam dunia ini bala bencana yang menimpa mereka.

    (3) Balasan akhirat berdasarkan niat masing-masing.

    Huraiannya:

    (1) Akibat buruk orang-orang yang mencabuli kehormatan sesuatu yang mulia di sisi Allah Taala:

    Tiap-tiap sesuatu yang mulia di sisi Allah Taala, sama ada hukum, masa, tempat atau hamba Allah yang dikasihi-Nya; wajiblah dimuliakan dan dihormati sebagaimana apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

    Sesiapa yang mencabulinya, maka buruklah padahnya, seperti yang diterangkan dalam hadis ini.

    (2) Orang yang ada bersama dalam kalangan orang-orang yang melakukan perbuatan yang durjana, akan ditimpa bala bencana:

    Biasanya mala petaka dan bala bencana yang diturunkan oleh Allah Taala menimpa orang-orang yang melakukan perbuatan yang dilarang akan merangkum orang-orang yang tidak bersalah yang ada bersama, meskipun keadaan kedua-dua golongan itu berlainan.

    (3) Balasan akhirat diberi berdasarkan niat masing-masing:

    Balasan akhirat adalah menurut hakikat sesuatu sama ada baik atau buruk.

    Misalnya: Dua orang mati bersama dalam perjalanan ke pasar. Yang seorang berniat hendak membeli barang dan yang seorang lagi hendak mencuri, maka pada hari qiamat kelak, keduanya akan menerima balasan menurut niat masing-masing.

    Hadis Keempat Puluh Dua

    42- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ. (البخاري ومسلم)

    42 - Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. - pada hari kemenangannya menguasai Mekah Al-Mukarramah - bersabda: "Tidak dituntut lagi berhijrah sesudah berlakunya kemenangan menguasai Mekah, tetapi perjuangan agama dan niat yang baik masih dituntut."

    (Bukhari dan Muslim)

    Hadis yang keempat puluh dua ini menerangkan:

    Ada jenis amal kebajikan yang terhad masanya, tetapi perjuangan agama dan niat yang baik sentiasa dituntut:

    Tiap-tiap seorang dituntut mengerjakan amal kebajikan terutama yang tinggi nilainya. Dalam pada itu, ada di antara amal-amal kebajikan yang telah habis masanya, tidak ada peluang lagi bagi orang-orang yang datang kemudian untuk mengerjakannya. Hal keadaan yang demikian tidaklah seharusnya menyebabkan sesiapa merasa kekurangan, kerana masih banyak lagi yang boleh dikerjakan pada bila-bila masa jika sungguh-sungguh hendak berbakti.

    Orang-orang Islam dalam zaman Nabi Muhammad s.a.w. , diwajibkan berhijrah dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinab Al-Munawarah, untuk mendapat kebebasan menjalankan hukum-hukum agamanya dan untuk meneruskan penuangan menegakkan agama Allah, kerana kaum musyrik yang menguasai Mekah pada masa itu bermaharajalela menindas orang-orang Islam.

    Amalan berhijrah dalam keadaan yang demikian merupakan satu amal bakti yang sangat tinggi nilainya.

    Tetapi setelah Baginda berjaya menguasai Mekah dan menegakkan kalimah tauhid di tanah suci yang bersejarah itu maka amalan berhijrah dari situ tidak dituntut lagi. Sebaliknya perjuangan agama dan niat yang baik tidak terhad masanya bahkan sentiasa dituntut diamalkan oleh tiap-tiap seorang Islam, selagi hayat dikandung badan.

    Dalam pada itu sayugia diingat, bahawa ada lagi amalan berhijrah yang masih wajib dilakukan oleh setiap orang yang mampu, iaitu berhijrah dari tempat yang padanya tidak mendapat kebebasan menjalankan perintah-perintah agama ke tempat yang mendapat kebebasan berbuat demikian; dan dari tempat yang bergelumang dengan maksiat ke tempat yang bersih atau yang kurang maksiatnya; juga dari tempat yang padanya sukar mendapat ilmu pengetahuan Islam yang wajib dipelajari, ke tempat yang boleh mendapatnya.

    Bagi mencapai kesempurnaan amalan hijrah itu, maka tiap-tiap seorang hendaklah melakukannya dengan tujuan dan niat yang mulia dan murni

    Mestika Hadis-SEBENAR-BENAR PERKATAAN DAN SEBAIK-BAIK JALAN PIMPINAN-1

    Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').

    "Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur'an" (23, Al-Zumar).

    " .. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap memimpin ke jalan yang lurus." (52, Al-Syura).

    "Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa hidayat pertunjuk dan agama yang benar (Agama Islam) (28, Al-Fath).

    Hadis Pertama



    1- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ. (مسلم وغيره)

    1- Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat". Kemudian Baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".

    (Muslim dan Lain-lainnya).

    Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:

    (1) Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato.

    (2) Masa baginda diutus oleh Allah Taala dan saat berlakunya qiamat.

    (3) Kitab Allah ialah sebenar-benar perkataan dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w ialah sebaik-baik jalan pimpinan.

    (4) Perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama adalah seburuk-buruk perkara.

    (5) Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang mukmin.

    Hurainnya:

    Pertama - Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato:

    Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w, manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato, Rasulullah s.a.w menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.

    Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat, seperti berlakunya qiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera, memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.

    Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum, kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.

    Kedua - Masa Baginda diutus dan saat berlakunya qiamat:

    Meskipun masa berlakunya hari qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah, tetapi Rasulullah s.a.w telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya qiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya qiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku qiamat dengan masa Rasulullah s.a.w diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah dari jari telunjuk.

    Ketiga - Kitab Allah Adalah Sebenar-benar Perkataan:

    Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.

    Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.

    Kitab Allah, kitab suci Al-Qur'an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.

    Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur'an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.

    Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang, Al-Qur'an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.

    Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah da kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.



    Pimpinan Rasulullah s.a.w.:

    Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam.

    Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

    Keempat - Perkara-perkara Baharu yang diada-adakan dalam Agama:

    Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah s.a.w, Aathar sahabat dan Ijma Ulama.

    Perkara-perkara baharu yang demikian itulah dia bid'ah yang merupakan jalan baharu yang menyeleweng dari jalan yang sebenar, maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan di akhirat kelak dan jalan ke akhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapapun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar dan balasan yang seburuk-buruknya.

    Kelima - Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Mukmin:

    Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang-orang lain, tetapi Rasulullah s.a.w berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.

    Dengan sifat seorang pemimpin negara dan pemimpin agama, yang membawa perutusan dari Allah Subhanahu wa Taala, Baginda mencurahkan segala daya upaya, segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat, jauh sekali Baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan dan tidak sekali-kali Baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.

    Di antara cara-cara Baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan Baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.

    Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w.

    2- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (أبو داود)

    2 - Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? " Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dan mulutku ini melainkan yang benar. "

    (Abu Daud)

    Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa:

    (1) Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda.

    (2) Baginda mengizinkan supaya Hadis-hadis ini ditulis.

    (3) Segala yang disampaikan oleh Baginda adalah benar.

    (4) Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah anggapan yang tidak berasas.

    Huraiannya:

    Pertama - Penulisan Hadis-hadis Nabi.

    Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah Taala membawa syariat Islam kepada seluruh umat manusia, Baginda adalah sebagai seorang mahaguru yang diberi tugas mengajar, maka segala yang terbit dari Baginda, sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pun taqrirnya (ketiadaan larangannya)

    mengenai perkara-perkara syariat adalah semuanya berupa pelajaran dan tiap-tiap pelajaran itu ada sahaja orang yang menerimanya.

    Sebahagian besar dari sahabat-sahabat Baginda menerima hadis-hadis itu dengan menghafaznya dalam dada masing-masing. Dalam pada itu ada juga sahabat-sahabat yang pandai menulis, mereka tulis hadis-hadis itu setelah menerimanya dan Baginda. Tetapi walau bagaimanapun, bagi sahabat-sahabat Nabi, cara menghafaz hadis-hadis itu lebih teguh dari cara menulisnya, dan lebih terkawal dari kesilapan, kerana tabiat semula jadi orang-orang Arab itu kuat ingatan, tambahan pula mereka bersifat adil disebabkan kekuatan imannya.

    Dari usaha sahabat-sahabat Baginda dalam hal penulisan hadis-hadis itu, maka banyaklah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang telah terkumpul dalam tulisan pada masa hayat Baginda.

    Mengenal masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda sila lihat lampiran (A).

    Kedua - Baginda mengizinkan supaya hadis-hadisnya ditulis.

    Penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. itu bukanlah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda secara rahsia, tetapi dilakukan setelah mereka mendapat kebenaran dari Baginda. Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat keadilan mereka, tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubung dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. khasnya dan dengan perkara-perkara agama amnya, dengan tidak mendapat kebenaran dari Baginda.

    Ketiga - Segala yang disampaikan oleh Baginda dari Allah Taala tetap benar.

    Apa juga yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak harus diragu-ragukan, kerana semuanya benar dan wajib diturut serta dijadikan pelajaran oleh pihak-pihak yang berkenaan.

    Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifatnya seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk menyampaikan hukum-hukum Islam kepada umat manusia, sudah tentu dipeliharanya dari perkara-perkara yang boleh menghalangi tugasnya dan yang boleh merosakkan apa yang hendak disampaikannya itu.

    Keempat - Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah tidak benar.

    Ada anggapan - dari pihak musuh-musuh Islam - bahawa apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. itu tak boleh dipegang dan tak boleh ditulis semuanya, kerana Baginda, kata mereka, ada sifat-sifat yang boleh jadi tidak mesti betul segala yang diterangkan, seperti perasaan marah dan perasaan suka, sedang perasaan-perasaan ini kerap kali dapat mempengaruhi jiwa seseorang hingga tergelincir dari jalan yang betul.

    Anggapan yang demikian telah timbul pada masa hayat Baginda lagi, dan Baginda sendiri telah menerangkan tentang salahnya anggapan itu, dengan menyuruh menulis apa yang Baginda sampaikan.

    Anggapan yang nyata salahnya itu adalah secara langsung menyentuh kedudukan kerasulan Baginda, kerana sebarang keraguan tentang kebenaran kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. bermakna ragu-ragu terhadap kerasulan Baginda.

    Ada juga anggapan bahawa kesilapan berlaku pada penyampaian Rasulullah s.a.w. dengan alasan Baginda pernah lupa.

    Benar, Baginda pernah lupa, tetapi dengan itu tidak boleh difaham bahawa Baginda boleh berlaku lupa pada segala perkara yang hendak disampaikannya. Lupa yang pernah terjadi ialah lupa yang diperintahkan Baginda melakukannya untuk menimbulkan sesuatu hukum, seperti lupa Baginda dalam sembahyang dari membaca "Tahiyyat Awal" lalu menerbitkan hukum "Sujud Sahwi" secara amali.

    Sayugia diingat, bahawa perkara yang tidak harus Rasulullah s.a.w. berlaku silap padanya ialah perkara-perkara yang dibawanya dari Allah Taala. Ada pun perkara-perkara keduniaan, atau pun perkara-perkara kehidupan sehari-hari, boleh jadi Baginda berlaku silap padanya dan boleh jadi Baginda tidak mengetahuinya, sebagaimana Baginda sendiri pernah bersabda, maksudnya: "Kamu lebih mengetahui mengenai perkara-perkara keduniaan kamu."

    "Perkara-perkara keduniaan" itu ialah perkara-perkara yang dapat diketahui oleh manusia dengan kajian sendiri, dengan tidak berdasarkan wahyu. Mengenai perkara-perkara yang demikian, terpulanglah kepada seseorang membuat kajian sendiri, atau mempelajari sendiri dengan apa cara dan sejauh mana pun, asalkan tidak bertentang dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang telah sabit.

    Tentang sabda Baginda: "Kamu lebih mengetahui mengenal perkara perkara keduniaan kamu" itu - maka itu adalah untuk mengajar manusia bahawa apa yang mereka gunakan dan cara-cara perusahaan dan alat-alat pertukangan terserahlah kepada pengetahuan dan pengalaman mereka, dan

    Tuhan tidak menyekat atau melarang mereka menjalankannya selagi hukum-hukum syarak tidak dilanggar, dan akhlak yang mulia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

    Tugas Rasulullah s.a.w. tidaklah seperti tugas guru-guru sekolah dan pakar-pakar perusahaan dan perindustrian. Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan untuk mengajar satu persatu mengenal ilmu pengetahuan yang berhubung dengan cara-cara mengambil faedah dan alam langit dan bumi serta segala isinya untuk kehidupan dunia. Kalau terdapat dalam apa yang disampaikan mengenai yang demikian maka itu hanyalah untuk dijadikan bukti yang menunjukkan wujudnya Allah Taala dan kekuasaanNya serta kebijaksanaan dan kemurahanNya.

    Ada pun ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan angkasa lepas meliputi matahari, bulan dan bintang; dan yang berhubung dengan bumi dan khazanah-khazanah yang terpendam di dalamnya; demikian juga ilmu pengetahuan yang bersabit dengan pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya, maka semuanya itu tidaklah termasuk dalam tugas Rasulullah s.a.w. untuk menerangkan satu persatu bahkan terserahlah kepada manusia mencari dan menyelidiknya, kerana Tuhan telah jadikan manusia berakal fikiran serta memberikannya tenaga dan usaha ikhtiar untuk mencapai pengetahuan dan kepandaian bagi mendapat kesempurnaan hidupnya.

    Lampiran (A):

    Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.:

    Mengenai masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda, ada beberapa hadis yang melarang menulisnya, dan ada pula beberapa hadis yang mengizinkan.

    Di antara hadis-hadis yang melarang itu ialah:

    Pertama - Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu menulis (hadis-hadis) dariku dan (dengan yang demikian) sesiapa yang telah menulis dariku selain dari Al-Qur'an, maka hendaklah ia memadamnya .."

    Kedua - Hadis dari Abu Said Al-Khudri juga, katanya: (Pada suatu hari) kami sedang duduk menulis apa yang kami dengar dari Rasulullah s.a.w., lalu Baginda keluar mendapatkan kami sambil bertanya: "Apa yang kamu tulis itu?" Kami menjawab: "(Kami menulis) Apa yang telah kami dengar dari Rasulullah". (Mendengar jawapan kami itu) Baginda bersabda, maksudnya: "Patutkah kamu menulis (sesuatu yang lain) bersama-sama dengan kitab Allah (Al-Qur'an)? Tulislah kitab Allah itu sahaja dan bersihkanlah dia (dari yang lainnya)." Maka kami pun mengumpulkan (hadis-hadis Nabi) yang telah kami tulis itu pada satu tanah lapang, kemudian kami

    membakarnya. Setelah itu kami bertanya kepada Baginda dengan berkata: "Ya Rasulullah! bolehkah kami menyampaikan hadis-hadis yang kami dengar dari tuan kepada orang lain?" "boleh" jawab Baginda.

    Di antara hadis-hadis yang mengizinkan pula ialah:

    Pertama - Hadis (Nombor 2) yang tersebut dalam bab ini.

    Kedua - Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Abu Hurairah, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. beroleh limpah kurnia Allah menguasai tanah suci Makkah al-Mukaramah, tampillah Baginda berpidato kepada orang ramai .. lalu bangun Abu Shah sambil berkata: "Bolehkah tuan (membenarkan sesiapa) menulis untukku (apa yang tuan sabdakan itu) Ya Rasulullah? " Baginda menjawab, maksudnya: "Tulislah kamu untuk Abu Shah."

    Pendapat Sahabat-sahabat Nabi:

    Dengan adanya hadis-hadis yang melarang dan mengizinkan itu, maka sahabat-sahabat Nabi tidak sekata mengenai masalah penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., tetapi kebanyakannya mengharuskan dan telah pun menulisnya.



    Pendapat Alim Ulama':

    Alim Ulama' dan Ahli Hadis telah menyesuaikan di antara hadis-hadis yang melarang dan yang mengizinkan penulisan hadis-hadis Nabi itu dengan beberapa cara dan alasan:

    Pertama - Larangan itu adalah khas mengenai waktu turunnya Al-Qur'an kerana dibimbangkan Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya, dan hadis-hadis yang mengizinkan itu pula adalah untuk keadaan yang tidak dibimbangkan.

    Kedua - Larangan itu adalah khas mengenal penulisan hadis bersama-sama Al-Qur'an pada satu lembaran, kerana biasanya mereka mendengar hadis yang mentafsirkan sesuatu ayat Qur'an maka dengan itu harus mereka akan terlangsung menulisnya bersama-sama kandungan ayat itu, lalu mereka dilarang dari melakukan yang demikian kerana ditakuti kesamaran. Tentang hadis-hadis yang mengizinkan pula maka itu hanyalah untuk ditulis dalam lembaran yang berasingan yang tidak mengandungi sesuatu dari Al-Qur'an.

    Ketiga - Bahawa larangan itu adalah khas mengenai penulisan Wahyu (Al-Qur'an) yang biasanya mereka tulis dalam lembaran-lembaran surat untuk disimpan di rumah Nabi s.a.w.; oleh itu, kalaulah mereka diharuskan menulis hadis nescaya Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya. Tetapi selain dari itu adalah diizinkan.

    Keempat - Bahawa larangan itu adalah bagi orang yang dipercayai terselamat dari lupa, dan dipercayai tentang kekuatan ingatannya menghafaz apa yang didengarnya, serta ditakuti ia akan bergantung bulat-bulat kepada tulisan apabila ia menulis. Sebaliknya diizinkan bagi orang yang ditakuti lupanya.

    Kelima - Hadis-hadis larangan itu mungkin sebahagian dari hadis-hadis yang dimansuhkan oleh hadis-hadis yang lain; boleh jadi pada mulanya Rasulullah s.a.w. melarang menulis sabda-sabdanya, kemudian Baginda memandang patut ditulis kerana diketahui bahawa hadis-hadis makin sehari bertambah jumlahnya dan tak dapat dihafaz.

    Pages

    Panduan haji